Social
737

Bergaduh di restoran gara-gara isu cuti

Teluk Intan – Polis sudah mengambil keterangan dua pihak yang terbabit dalam pergaduhan di sebuah kedai makan Jalan Changkat Jong, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada wanita berusia 27 tahun pada jam 9.53 malam kelmarin.

“Wanita itu membuat laporan akibat perselisihan faham dengan seorang lelaki berusia 56 tahun yang juga penyelianya di sebuah syarikat pengawal keselamatan.

“Punca kejadian dipercayai akibat tidak berpuas hati berkaitan cuti. Pihak polis sudah memanggil kedua-dua pihak untuk diambil keterangan.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju menyelesaikan kes itu secara baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, video pertengkaran mulut seorang lelaki dan wanita di sebuah kedai makan tular di media sosial.

Pergaduhan itu kemudian dileraikan pekerja kedai makan. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu