Nation
215
0

Berhati-hati dengan orang tengah tawar khidmat ujian saringan COVID-19 – MMA

Kuala Lumpur – Majikan digesa agar berwaspada dengan tindakan syarikat swasta yang bukan berlatar belakangkan kesihatan dan orang tengah yang menawarkan perkhidmatan ujian saringan bagi COVID-19, demikian menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata pihak yang menjalankan perniagaan ini didapati menyasarkan para doktor (GP) yang sedang berjuang dengan wabak itu dan didapati cuba memaksa mereka untuk menerima harga terendah untuk khidmat profesional yang diberikan, semata-mata mahu memperoleh diskaun lebih besar daripada majikan.

“MMA sangat prihatin dengan hal ini, kerana sekiranya khidmat profesional (doktor) tidak dibayar setimpal dengan pekerjaan yang dilakukan, ia mungkin tidak dapat menanggung kos uijian saringan sekali gus akan menjejaskan kualiti perawatan.

“Hakikatnya, kos akan menjadi lebih rendah jika majikan dapat berurusan dan berbincang secara langsung dengan doktor kerana ia tidak melibatkan bayaran kepada orang tengah,” menurut MMA dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

MMA menjelaskan, di bawah program saringan COVID-19 bagi pekerja asing, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mewajibkan pekerja asing menjalani saringan ujian COVID-19 menggunakan kaedah Rapid Test Kid (RTK) Antigen yang diberikan secara percuma kepada doktor yang mengambil bahagian. Hanya bayaran khidmat profesional doktor yang dikenakan kepada majikan.

Kini, terdapat 626 klinik panel Perkeso yang menjalankan ujian saringan untuk pekerja asing dan senarai lengkap boleh didapati menerusi laman webnya di www.psp.perkeso.gov.my

“Kami ingin mengingatkan orang ramai bahawa kid ujian RTK Antigen hanya dapat dilakukan oleh pegawai perubatan profesional yang terlatih mengikut garis panduan pencegahan penyakit berjangkit yang ketat, oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“MMA mengingatkan bahawa seseorang mungkin berdepan berisiko tinggi mengalami kecederaan atau masalah kesihatan lain atau memperoleh keputusan ujian negatif yang palsu, sekiranya ujian saringan (COVID-19) tidak melalui prosedur yang betul,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu