Social
124

Berhutang puluhan ribu ankara bomoh

Kluang – Seorang lelaki berhutang puluhan ribu ringgit dengan ceti haram atau along gara-gara terpedaya helah bomoh yang mendakwa boleh merawat sakit misterinya.

Taktik licik bomoh terbabit menyebabkan mangsa yang sudah meninggal dunia meninggalkan beban hutang termasuk kadar bunga tinggi kepada warisnya.

Menurut Ayu (bukan nama sebenar), 30, arwah bapanya meminjam wang daripada pelbagai syarikat peminjam wang berlesen dan tidak berlesen bagi tujuan berubat.

“Abah juga berhutang dengan saudara mara dan pencen abah kira-kira RM1,200 sebulan kini semuanya habis digunakan untuk membayar hutang.

“Selalunya yang tinggal dalam tangan sekitar RM80 dan disebabkan itu emak yang berusia 67 tahun terpaksa bekerja sebagai pembungkus kerepek dengan hasil pendapatan kira-kira RM30 sehari.

“Abah memang pesan sebelum meninggal dunia supaya saya menyelesaikan semua hutang piutangnya dengan along mahupun dengan saudara mara,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ayu berkata, ketika arwah bapanya masih hidup, bomoh berkenaan mengenakan denda atau dam kepada ayahnya sekiranya melanggar pantang.

Katanya, jumlah denda berkenaan sekitar RM500 setiap kali kesalahan perlu dijelaskan dengan segera jika tidak mahu sakit misteri bapanya melarat.

“Disebabkan takut sakitnya bertambah teruk abah terpaksa meminjam, malah setiap bulan ada sahaja panggilan telefon daripada bomoh berkenaan yang memberitahu abah melanggar pantang.

“Keadaan ini berlanjutan hinggalah abah meninggal dunia awal tahun ini dan selepas itu, bomoh berkenaan tidak mengacau kami tetapi kami pula terpaksa menjelaskan hutang abah dengan along,” katanya.

Katanya, kini setiap bulan dia perlu membayar RM500 kepada along sehingga Disember ini.

“Itu belum lagi hutang arwah abah dengan along lain. Kerana pinjaman lain dibuat mengikut alamat di rumah lama,” katanya.

Katanya, tidak cukup dengan itu, mereka juga sekeluarga diuji lagi apabila dihalau keluar dari rumah sewa oleh tuan rumah menyebabkan mereka kini terpaksa menumpang di rumah jiran.

“Kami tak tahu kenapa dihalau tuan rumah kerana kami tak pernah culas membayar sewa rumah sebanyak RM300 sebulan sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, penderitaan Ayu sekeluarga mendapat perhatian Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Johor, Datuk Mohd Fadel Alwi yang membantu mencarikan dan menjelaskan deposit untuk rumah sewa baharu.

“Kami juga sedang berusaha menjejaki bomoh penipu berkenaan dan akan berurusan dengan along berkenaan bagi menyelesaikan masalah hutang along arwah,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu