Social
156

Beri saya ruang selesaikan masalah : Neelofa

Putrajaya – Selebriti yang juga usahawan popular, Neelofa memohon agar diberikan ruang untuk menyelesaikan sendiri isu dakwaan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan merentas negeri ke Pulau Langkawi, Kedah termasuk dakwaan melanggar SOP majlis perkahwinannya baru-baru ini.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, 32, berkata, dia dan suaminya, Haris Ismail, 26, akan menyelesaikan isu tersebut secara profesional dengan pihak berkuasa.

“Saya tidak mahu bercakap lebih kerana tidak mahu memudaratkan keadaan,” ujarnya ringkas.

Berhubung dakwaan yang mengatakan bahawa tujuan utama Neelofa bersama suami ke pulau  legenda itu atas urusan kerja, Neelofa memberitahu bahawa dia telah merancang perjalanan tersebut sejak sebelum berkahwin pada 27 Mac lalu.

“Saya rasa tidak semua perkara saya perlu kongsikan kepada netizen (berkaitan kerja),” ujarnya.

Ketika ditanya media tentang tindakannya mewakilkan pembantu peribadi untuk memberikan kenyataan dengan pihak polis pada 30 Mac lalu untuk membantu siasatan, bekas pengacara MeleTOP itu enggan memberikan sebarang ulasan lanjut berhubung perkara tersebut.

“Saya rasa tidak perlu jawab tentang perkara tersebut dan sekali lagi saya meminta pihak media memberikan saya ruang untuk saya menyelesaikan perkara ini dengan cara saya sendiri,” kata Neelofa.

Neelofa yang ditemui ketika majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara The Noor dengan jenama selipar terkenal, Fipper juga enggan mengulas lanjut tentang kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador akan membuka kertas siasatan berhubung isu berkenaan.

Semalam media melaporkan bahawa polis akan membuka kertas siasatan berhubung tindakan selebriti popular Neelofa memuat naik gambar dan video bersama suami, Haris Ismail bersiar-siar di pulau peranginan ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya akan segera menyiasat gambar dan video yang dimuat naik di media sosial.

Terdahulu, pemilik dan pengurus majlis, Faiz Sabari bersama isterinya, Rozana Mumtaz Mohd. Ashraff serta pembantu peribadi Neelofa, Nadiah Khairuddin bersama seorang wanita yang didakwa merupakan peguam kepada Neelofa telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira pukul 11.40 pagi pada 30 Mac lalu. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu