Kuala Lumpur Post

Nation

Beri sokongan kepada Negeri Sembilan agar semua kaum dapat dijaga : PM Anwar

NILAI — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  meminta kerjasama pemimpin dan masyarakat India di Negeri Sembilan untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri sekarang agar dapat kekal mentadbir, supaya kebajikan semua kaum dijaga.

Beliau berkata kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) harus dikekalkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan selewat-lewatnya pada Ogos ini, supaya kebajikan semua kaum terus terpelihara.

“Ini negeri semua kaum punya. Ini negeri Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak punya. Kalau orang bawa kempen seolah-olah kata ini negeri Melayu sahaja punya, dia salah.

“..kena ingat negeri ini mesti maju, mesti jaga orang susah, kena jaga semua sekolah, semua kaum,” katanya ketika berucap pada program ramah mesra Perdana Menteri bersama masyarakat India sekitar kawasan Desa Cempaka di sini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K. Saraswathy dan pemimpin-pemimpin India setempat.

Anwar berkata dalam perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin India dari semua parti politik Kerajaan Perpaduan baru-baru ini, beliau telah meminta pemimpin-pemimpin India di negara ini agar tidak bergaduh, sebaliknya berusaha menjaga kebajikan masyarakat kaum itu.

“Masalah pertama adalah sekolah, Ini sekolah anak-anak kita. Berapa banyak sekolah Tamil rosak, tandas tidak boleh guna. Di kawasan kampung, sekolah Melayu pun macam itu.

“Saya beritahu Kementerian Pendidikan tahun ini juga semua sekolah, Tamil ke Melayu ke kalau rosak, mesti baiki tahun ini juga. Kalau orang India tanya berapa peruntukan untuk Sekolah Tamil, jangan tanya, ada sekolah Tamil rosak, kita mesti baiki. Saya tidak kisah apa (jenis) sekolah.

Anwar berkata selaku Perdana Menteri Malaysia, beliau akan bersifat adil dan saksama kepada semua kaum di negara ini.

Katanya semua inisiatif kerajaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), baik pulih sekolah daif, subsidi elektrik dan haji diberikan kepada semua kaum serta tidak terjurus kepada satu kaum sahaja.

Sementara itu Anwar berkata meskipun nilai mata wang Ringgit menurun, Anwar berkata pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negara terus meningkat serta tinggi berbanding Indonesia serta China pada suku pertama tahun ini, lapor Bernama.

Tags: , ,