Nation
316

“Berilah peluang kepada bapa untuk terajui negara“

Kuantan – Memulihkan kembali negara daripada belenggu pandemik COVID-19 pastinya akan menjadi tugas mencabar buat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan semalam.

Justeru, anak kepada Naib Presiden UMNO itu, Nashriq Ismail Sabri, 29, amat berharap rakyat di negara ini dapat memberikan peluang kepada bapanya untuk membuktikan kemampuan dalam mengemudi negara.

“Saya mohon agar rakyat Malaysia dapat memberi peluang kepada beliau untuk menerajui negara dan memberikan doa yang baik-baik. Ia bukan tugas yang mudah untuk digalas tetapi kami yakin beliau akan cuba yang terbaik bagi memulihkan negara kita,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Anak ketiga daripada empat beradik itu bagaimanapun percaya dengan pengalaman luas yang dimiliki bapanya, tugas baharu itu dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Ditanya mengenai reaksi Ismail Sabri sebaik dilantik sebagai perdana menteri, Nashriq berkata:

“Beliau bersyukur kepada Allah dan menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas perkenan pelantikan jawatan perdana menteri.”

Nashriq turut berkongsi perwatakan Ahli Parlimen Bera itu, yang menurutnya adalah seorang yang penyayang dan amat mementingkan keluarga meskipun sibuk dengan tugasannya di dalam kerajaan dan juga parti.

Semalam, pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Kesembilan diumumkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara dan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan

Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan berlangsung pada 2.30 petang ini.

Pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, selepas mengadakan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu selama dua jam di Istana Negara.

Ismail Sabri, 61, yang sebelum ini adalah timbalan perdana menteri dilantik ke jawatan itu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan perdana menteri pada 16 Ogos, susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu