Social
152

Berpantang maut sebelum ajal

Alor Gajah – Berpantang maut sebelum ajal. Itu pepatah yang sesuai dalam insiden lima sekeluarga cedera selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang ketika melalui Jalan Hutan Simpan Masjid Tanah di sini petang tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah Penguasa Bomba Kanan II Zul Akhman Othman berkata dalam insiden pada kira-kira 6.30 petang, kereta itu dinaiki sepasang suami isteri dan tiga anak mereka.

Beliau berkata pasangan itu cedera di kepala manakala kesemua anak mereka cedera ringan dan insiden tersebut turut membabitkan seorang lelaki berusia 45 tahun yang memandu kereta jenis Honda Accord yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“BBP Masjid Tanah menerima panggilan kecemasan kira-kira 6.40 petang sebelum jentera bomba tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian bersama enam anggota.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira berkenaan dihempap pokok kerana tidak sempat mengelak kerana ia tumbang secara tiba-tiba manakala kereta Honda Accord pula berada di atas pokok yang tumbang itu,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Zul Akhman berkata ketika bomba tiba di lokasi kejadian, kedudukan kereta Proton Wira menghala ke arah Masjid Tanah dari Sungai Udang manakala kereta Honda Accord pula dari arah bertentangan.

Beliau berkata semua mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba dan lima sekeluarga itu dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan oleh orang awam serta ambulans.

Katanya pokok itu tumbang merintangi laluan dua hala di jalan tersebut sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira tiga hingga empat kilometer.

Pokok itu dipercayai tumbang akibat hujan lebat.

Kerja-kerja pemotongan dan pembersihan serta mengalih kedua-dua kenderaan bagi melancarkan aliran trafik mengambil masa kira-kira 45 minit dengan kerjasama orang awam dan anggota tentera. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu