Nation
144

Bersatu gugurkan keahlian Noor Effandi

Kuala Lumpur – Biro Politik Bersatu membuat ketetapan menggugurkan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad serta-merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan parti itu.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ketetapan itu akan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti akan datang.

Beliau berkata Biro Politik Bersatu juga melahirkan rasa amat kecewa dengan tindakan empat ADUN yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka sehingga membawa kepada pembubaran DUN ketika rakyat berdepan ancaman pandemik COVID-19.

“Biro Politik Bersatu berpendapat bahawa kemelut politik ini berpunca daripada masalah dalaman parti politik tertentu dan ia bertambah parah apabila terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan tanpa memikirkan kebajikan rakyat serta kepentingan negara ketika ini yang masih di peringkat awal proses pemulihan,” menurutnya dalam kenyataan.

Hamzah juga berkata Biro Politik Bersatu mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan perkembangan politik terkini di Melaka.

Menurut kenyataan itu, Biro Politik Bersatu turut berpendirian kemelut politik di Melaka perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan negeri berkenaan dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

Selain Noor Effandi, ADUN yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Isnin lepas ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 dan satu Pilihan Raya Negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran itu.

Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt setelah dipersetujui Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu