Nation
413

Berwaspada dengan penipuan kewangan dalam era digital

Kuala Lumpur – Kehilangan wang hasil titik peluh keringat anda selama ini sememangnya merupakan satu pengalaman yang memeritkan apatah lagi sekiranya ia adalah sisa-sisa yang masih ada dalam simpanan anda.

Namun apakah yang boleh kita lakukan? Adakah kita menjadi mangsa penipuan dan perlukah kita hanya mendiamkan diri sahaja?

Kes penipuan kewangan makin meningkat sejak bermulanya lonjakan digital dan ia semakin menjadi-jadi sejak negara dilanda oleh pandemik COVID-19.

Keperluan mendesak untuk mendapatkan bantuan kewangan dan tahap literasi kewangan yang rendah dalam kalangan orang ramai telah memberikan ruang kepada scammer (pihak yang melakukan penipuan) untuk memerangkap mangsa, terutamanya yang melibatkan pinjaman peribadi.

Kadar rendah, tanpa mengambil kira kelayakan kredit anda, adalah faktor penarik utama yang biasanya digunakan oleh pemangsa.

Oleh kerana orang sangat terdesak, mereka biasanya mudah percaya dengan apa yang dikatakan oleh scammer semasa tempoh-tempoh sukar ini.

Lebih memburukkan keadaan, penipuan itu diiklankan secara sah di media sosial, yang mudah menarik ramai rakyat Malaysia yang kurang pengetahuan kewangan atau tidak mengetahui apa yang diperlukan dalam proses permohonan pinjaman dan kriteria yang ditetapkan oleh badan pentadbir.

Meneliti komen-komen di media sosial, mudah untuk melihat beratus-ratus malahan beribu orang mendakwa menerima mesej peribadi secara terus daripada scammer dan walaupun mangsa mengadu bahawa mereka telah membuat pembayaran yang diperlukan namun masih belum menerima pinjaman.

Sebagai contoh, scammer akan meminta mangsa untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang ditetapkan bagi mendapatkan pinjaman atau barangan yang mereka ingin beli tetapi apabila pembayaran dibuat, mereka (scammer) tidak membalas mesej dan menyebabkan mangsa tertunggu-tunggu tanpa mendapat sebarang keputusan.

Ini suatu yang menyedihkan kerana mangsa yang merancang untuk memohon pinjaman itu langsung tidak mengetahui apa yang berlaku dan benar-benar berharap untuk mendapat bantuan kewangan. Namun sebaliknya mereka bukan sahaja tidak mendapat pinjaman yang dihajati, malahan kehilangan pula wang yang mereka ada.

Dengan kata lain, media sosial kini telah menjadi ‘pembantu’ kepada penipuan kewangan secara besar-besaran dalam dunia hari ini.

Ini bukan dibantu oleh ejen-ejen yang secara palsu mengiklankan kadar faedah bank. Lebih malang lagi, kadang-kadang pemegang akaun malahan kehilangan wang mereka dalam akaun bank masing-masing tanpa menyedari bagaimana ia berlaku.

Celik kewangan bantu mencegah daripada ditipu

Menurut Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan (2019-2023) Malaysia, rakyat negara ini dikatakan mempunyai keyakinan yang rendah terhadap ilmu kewangan mereka.

Satu daripada tiga rakyat Malaysia menyifatkan mereka cetek pengetahuan mengenai kewangan, begitu juga dengan isi rumah berpendapatan rendah yang cenderung berkeadaan sedemikian.

Satu daripada hasil yang digariskan dalam strategi ini ialah melindungi individu daripada penipuan dan penipuan kewangan.

Ketika pandemik yang melanda dunia pada 2020 berlanjutan hingga ke 2021, tahap terdesak untuk mendapatkan bantuan kewangan semakin meningkat, disebabkan oleh peningkatan mendadak kadar pengangguran.

Oleh itu, rancangan untuk meningkatkan celik kewangan perlu dilaksanakan dan tidak sekadar dibualkan — pendekatan yang sebenar perlu diambil untuk mengelakkan lebih ramai rakyat Malaysia daripada menjadi mangsa penipuan.

Amaran: Sekiranya urus niaga itu kelihatan sukar dipercayai, jangan terpedaya dengan tawaran atau keramahan scammer. Sekiranya anda seorang mangsa penipuan atau diancam oleh kakitangan bank, jangan teragak-agak untuk melaporkannya kepada bank dan pihak polis.

Mana-mana pihak yang menemui sebarang bentuk penipuan kewangan yang meragukan, perlu melaporkan kepada pusat panggilan setempat CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101559 dan 03-26101599 setiap hari bermula 8 pagi hingga 8 malam.

Adakah keselamatan digital kita dalam bahaya?

Baru-baru ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan dakwaan bahawa data peribadi di Jabatan Pendaftaran Negara telah dijual di web tertutup, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap pelanggaran itu.

Walaupun Kementerian Dalam Negeri telah menafikan dakwaan tersebut, laporan terkini oleh Experian menunjukkan rekod peribadi baharu yang mencurigakan — yang ditemui di web tertutup telah meningkat sebanyak 76.6 peratus sejak 18 bulan lepas, manakala menurut Cyber Security, sebanyak 319 kes kecurian identiti telah dilaporkan di Malaysia.

Ini dilaksanakan melalui TrackMyID, alat untuk memantau kecurian identiti oleh Experian bagi membantu rakyat Malaysia mengesan sekiranya identiti digital mereka terjejas atau dijual di web tertutup.

Experian merupakan syarikat perkhidmatan maklumat global yang menawarkan khidmat pemantauan identiti secara percuma selama tiga bulan kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai langkah pencegahan untuk membantu pengguna melindungi identiti mereka daripada potensi ancaman siber.

Persoalan yang lebih penting adalah, bagaimana mereka boleh memiliki identiti kita? Adakah ia dijual, adakah ia perbuatan ejen yang tidak jujur atau adakah sistem itu digodam? Apakah langkah yang akan diambil untuk mencegah insiden seumpama itu daripada berulang?

Lindungi maklumat dan data peribadi anda

Ketika transaksi secara dalam talian menjadi norma pada masa ini dan media sosial sebagai sebahagian daripada hidup kita, langkah yang kita boleh lakukan adalah lebih berhati-hati untuk berkongsi maklumat sulit dengan sesiapapun.

Oleh kerana nombor telefon, nombor akaun, e-mel, nombor kad pengenalan dan alamat mudah untuk diperoleh di mana-mana sahaja, pertahanan terakhir kita adalah melindungi kewangan dengan cara tidak berkongsi kata laluan sekali, maklumat mengenai kad, terutamanya Nilai Pengesahan Kad (CVV), serta kata laluan perbankan.

Selain itu, jangan sesekali menyimpannya secara automatik di mana-mana laman web atau komputer persendirian untuk mengelakkan data kita daripada terjejas.

Bagi pinjaman peribadi yang menawarkan kadar rendah yang sukar dipercayai, anda perlu sedar bahawa bank tidak akan sesekali meminta anda memindahkan sejumlah wang terlebih dahulu dan sekiranya mereka meminta anda memindahkan wang ke akaun peribadi, anda perlu segera menyekat nombor itu dan melaporkannya kepada bank dan polis.

Lengkapkan diri kita dengan pengetahuan asas mengenai proses permohonan pinjaman serta memahami maklumat penting seperti kepercayaan kredit dan kadar faedah.

Namun, sekiranya anda menjadi mangsa kejadian seumpama ini, jangan bimbang untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu