Nation
469

Bicara kes 1MDB ditangguh, Najib perlu hadir mesyuarat penting BN

Kuala Lumpur – Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditangguhkan ke 2.30 petang ini kerana bekas perdana menteri itu perlu menghadiri mesyuarat penting di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 pagi berhubung pilihan calon untuk jawatan perdana menteri.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Najib untuk menghentikan bicara sesi pagi pada 10.45 pagi kerana Ahli Parlimen Pekan itu perlu menghadiri mesyuarat itu.

“Bolehkah saya menyatakan untuk rekod bagi mengelakkan keraguan bahawa saya membenarkan permintaan tertuduh kerana berikutan isu semasa negara pada masa ini, dan saya rasa pentingnya mesyuarat ini untuk mencapai resolusi.

“Jadi ia hanya disebabkan perkara ini dan saya tidak mahu tanggapan bahawa permohonan pada mesyuarat lain atau acara lain dibenarkan. Hanya permohonan ini. Saya benarkan beliau untuk menghadiri mesyuarat ini tetapi kita harus teruskan semula pada 2.30 petang. Jadi jumpa anda pada 2.30 petang,” tegas hakim itu.

Terdahulu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah parti Barisan Nasional (BN) akan mengadakan mesyuarat penting hari ini berhubung pemilihan calon jawatan perdana menteri pada 11 pagi ini.

“Anak guam saya adalah penasihat BN, beliau perlu berada di sana bersama Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan pemimpin parti yang lain untuk membuat keputusan,” kata peguam itu.

Prosiding pagi ini dimulakan dengan keterangan Mohd Hazem Abd Rahman, 49, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, dalam pemeriksaan balas oleh Muhammad Shafee mengenai transaksi berjuta-juta wang daripada 1MDB.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Semalam, Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat khas di tempat yang sama untuk membincangkan calon parti untuk jawatan perdana menteri, yang namanya akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan semalam pula memaklumkan, semua Ahli Dewan Rakyat diminta menghantar surat akuan bersumpah kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9.

Surat akuan itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum 4 petang hari ini, atau ia tidak akan diambil kira, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu