Nation
68

Bicara kes rasuah Bung Moktar, isteri ditangguh

Kuala Lumpur – Perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A. Samad, yang dijadual didengar di Mahkamah Sesyen di sini semalam, ditangguh ke 26 Julai, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini, berkata perkara tersebut dimaklumkan oleh mahkamah menerusi e-mel kepada kedua-dua pihak sebelum ini.

“Mahkamah telah menetapkan tarikh baharu selama lima hari bermula 26 hingga 30 Julai ini untuk sambung bicara dan saksi pendakwaan ke-19, iaitu bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan Datuk Seri Dr Mohmad Isa Hussain akan menyambung keterangan apabila perbicaraan bersambung nanti,” katanya.

Kes itu sebelum ini ditetapkan untuk sambung bicara selama tiga hari bermula semalam (23 Jun) di hadapan Hakim Rozina Ayob, namun ditangguh berikutan PKP 3.0, lapor Bernama

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 62, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, iaitu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu