Kuala Lumpur Post

Nation

BNM hanya tahu AS$&00 juta masuk akaun syarikat Jho Low pada 2015 : Zeti

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu hanya selepas hampir tujuh tahun, barulah Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati bahawa wang AS$700 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah masuk ke entiti yang salah, iaitu Good Star Ltd, sebuah syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, 76, juga mengakui bahawa ia adalah satu tempoh yang panjang untuk mengetahui perkara berkenaan, kerana ia melibatkan proses yang panjang untuk menjejaki wang itu.

Urus niaga AS$700 juta berlaku pada 2009 dan pihak berkuasa menemukannya pada 2015.

Saksi pendakwaan ke-46 itu berkata demikian ketika ditanya peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas perdana menteri itu yang membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Muhammad Shafee: Tan Sri, hanya selepas hampir tujuh tahun, semua pihak berkuasa menyedari bahawa wang itu telah masuk ke dalam entiti Jho Low? Zeti menjawab “betul”.

Muhammad Shafee: Bukankan ia satu tempoh yang panjang untuk mendapati bahawa wang itu telah masuk ke entiti yang salah.

“Ia perkara yang amat biasa berlaku. Saya diberitahu oleh pihak berkuasa kewangan di seluruh dunia bahawa ia mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk menemukan dan mengesan kesalahan yang sedemikian.

“Betul urus niaga itu berlaku pada 2009, dan kita hanya tahu mengenainya pada 2015, tapi ia tidak bermakna bahawa BNM tidak membuat sebarang tindakan. Kita telah hantar beberapa surat dan emel kepada 1MDB. Kita minta status pelaburan AS$1 bilion itu.

“Namun tiada maklum balas yang kami terima, dan itu sebabnya pada 2014 apabila 1MDB memohon untuk mendapatkan lebih banyak wang, BNM menolak permohonannya kerana hutangnya terus meningkat, oleh itu, bank pusat menolak permohonannya,” tegas Zeti.

Saksi itu juga berkata bank pusat perlu menjalankan siasatan berberapa tahun lamanya, berikutan kegagalan pegawai 1MDB memberikan jawapan yang memuaskan kepada bank pusat mengenai apa yang berlaku kepada dana yang dihantar ke luar negara pada 2009 itu.

Muhammad Shafee: Tan Sri, BNM tentu boleh mengenal pasti pemilik akaun sebelum sebarang kelulusan diberikan terhadap transaksi?

Zeti: Tidak, ia adalah bidang kuasa pihak lain, dan memerlukan masa untuk mengetahui siapa pemilik akaun itu.

Beliau juga menegaskan bahawa bukan peranan BNM untuk menjalankan due diligence berhubung transaksi itu, dan yang jelas ialah ia merupakan fungsi institusi kewangan terlibat.

Najib, 70, berdepan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung, lapor Bernama.

Tags: , ,