Nation
425

BNM serbu syarikat e-dagang, rampas RM118.7 juta

Kuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu sebuah syarikat terbabit dalam aktiviti e-dagang dan syarikat sekutunya kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan jenayah kewangan serta merampas wang tunai berjumlah RM118.7 juta.

Susulan serbuan bersama agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu, 45 akaun dalam tujuh bank turut dibekukan.

BNM berkata, 22 premis yang berkaitan dengan syarikat e-dagang terbabit dan syarikat sekutunya di Kuala Lumpur serta Selangor diserbu dan dokumen berkaitan dirampas bagi membantu siasatan.

“Syarikat e-dagang dan syarikat sekutunya itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Orang ramai perlu mengetahui bahawa mana-mana individu yang menerima deposit tanpa lesen dianggap melakukan kesalahan mengikut Seksyen 137(1) FSA, manakala siasatan terhadap kesalahan pengubahan wang haram juga akan dibuat mengikut peruntukan di bawah AMLA,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai diingatkan hanya menyimpan wang atau melabur dengan pihak berlesen atau berdaftar dengan pihak berkuasa berkaitan.

“BNM dan SC menggesa orang ramai berhati-hati apabila melabur dengan syarikat dalam atau luar negara yang menawarkan pelbagai peluang pelaburan serta menjanjikan pulangan lumayan.

“Sekiranya orang ramai mengetahui atau ditawarkan peluang pelaburan seperti ini melalui promosi media sosial, e-mel atau telefon, mereka digalak melaporkan perkara ini kepada BNM menerusi talian 03-26910824 atau SC di talian 03-6204 8999,” katanya, lapor BH Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu