Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

BNM, SPRM dan sektor kewangan perlu terus bekerjasama perangi rasuah, penipuan kewangan

KUALA LUMPUR — Bank Negara Malaysia (BNM) perlu terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sektor kewangan bagi menyelaras usaha memerangi jenayah rasuah dan penipuan kewangan.

Ketika membuat gesaan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata ini juga dapat mewujudkan kesedaran awam yang lebih berkesan serta jitu mengenai taktik penipuan terkini.

Menurutnya, selain memastikan langkah pencegahan lebih efektif oleh institusi kewangan, usaha itu dapat menyediakan sokongan bagi pemulihan dana yang diselewengkan serta membolehkan siasatan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang terbabit secara berkesan.

“Institusi kewangan sentiasa terdedah kepada penipuan dan pengubahan wang haram yang menjadikannya sebagai tempat selamat untuk menyembunyikan, berurus niaga dan menukar hasil daripada aktiviti haram.

“Penjenayah pula semakin kreatif dalam mencari kelemahan untuk memintas usaha wajar pelanggan (Customer Due Diligence) yang telah dilaksanakan dan mengeksploitasi pelbagai instrumen kewangan bagi aktiviti menyalahi undang-undang melalui kemudahan pembiayaan perdagangan, insurans, pindahan wang dan amalan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada majlis makan tengah hari SPRM bersama institusi-institusi kewangan Malaysia di sini, hari ini, lapor Bernama.

Tags: , , ,