Social
508

Bob Mah Sing diburu polis

Kuala Lumpur – Polis memburu seorang lelaki dikenali sebagai Bob Mah Sing, apabila dia dan rakannya merempuh beberapa kenderaan dan kereta peronda polis dalam cubaan melarikan diri, kerana disyaki membawa dadah jenis heroin dalam kenderaan dinaiki mereka, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an berasal dari Subang itu melarikan diri, manakala rakannya berusia 35 tahun berjaya ditahan polis di kawasan perumahan Desa Aman, di sini.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada anggota peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak kira-kira 12.45 tengah hari, yang mengejar kereta dinaiki kedua-dua lelaki terbabit dari kampung Desa Aman menghala bulatan Sierramas, Sungai Buloh.

“Apabila tiba di lampu isyarat berhampiran bulatan Sierramas, kedua-dua suspek enggan keluar dari kereta dan bertindak merempuh beberapa kenderaan untuk melarikan diri, sebelum merempuh kereta peronda polis.

“Anggota terpaksa melepaskan tembakan ke arah kedua-dua tayar hadapan kereta suspek namun suspek melarikan diri ke arah jalan Kuala Selangor menghala Sungai Buloh, dan meninggalkan kenderaan di tepi jalan kerana tayar bocor,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Nik Ezanee berkata tindakan pantas forensik dan unit anjing pengesan, kemudiannya mengesan dadah jenis heroin anggaran berat 1.7 gram dalam kenderaan ditinggalkan lelaki terbabit.

Menurutnya, semakan mendapati lelaki yang ditahan mempunyai lapan rekod jenayah membabitkan kes dadah, dan permohonan reman akan dibuat hari ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307, 427, 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Bob Mah Sing, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Chew Yong Hoa di talian 014-3929448 atau balai polis berhampiran.

Semalam, tular di media sosial aksi polis melepaskan tembakan ke arah tayar dan meminta suspek menyerah diri, apabila disuruh memberhentikan kenderaan untuk diperiksa. — Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu