Social
221

Bom disangka alat permainan

Kepala Batas – Dua remaja lelaki menyangka objek tertanam yang dijumpai mereka di tepi persisir pantai di Kuala Muda, Penaga, di sini adalah alat permainan namun sebaliknya ia adalah bom.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari tadi, kedua-dua remaja berusia 14 tahun itu berada di pantai berkenaan untuk membeli ais ketul sebelum ternampak objek tertanam yang mereka sangkakan alat permainan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kedua-dua mereka kemudian mengorek pasir bagi mengeluarkan objek itu sebelum ia dibawa pulang ke salah sebuah rumah remaja itu di Taman Desa Kuala Muda, di sini untuk ditunjukkan kepada ahli keluarga.

“Disebabkan tertera tulisan mortar bom pada objek itu, satu laporan polis kemudian dibuat untuk siasatan lanjut.

“Hasil soal siasat mendapati objek itu adalah sebutir bom jenis mortar berukuran sepanjang 30 sentimeter (cm) seberat tiga kilogram (kg).

“Kes kemudian dimaklumkan kepada Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Noorzainy berkata, berdasarkan makluman awal mendapati objek itu tiada bahan letupan dan ia digunakan untuk tujuan pembelajaran.

“Bom itu dibawa balik ke Pangkalan UPB IPK Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — Harian Metro

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu