Social
222

Bomba selamatkan wanita cuba bunuh diri

Petaling Jaya – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan seorang wanita berusia 39 tahun daripada cubaan membunuh diri di Stesen Monorail Jalan Maharajalela di ibu negara pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.57 pagi itu, wanita warga tempatan tersebut cuba membunuh diri dengan terjun dari atas bumbung jejantas stesen monorail berkenaan yang berketinggian hampir 10 meter.

Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Wan Hamizan Kamaruddin berkata, wanita itu turut mengacukan sebilah pisau pada bahagian leher bertujuan menghalang pasukan penyelamat daripada menghampiri dan membantunya.

“Hasil tindakan pantas anggota bomba berjaya menangkap mangsa pada pukul 9:28 pagi dengan selamat. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Wan Hamizan berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 8:57 pagi.

Menurut beliau, seramai 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dan Pudu dikerahkan memberi bantuan. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu