Nation
251

Bot dipercayai rosak, 6 dikhuatiri hilang

Chukai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) hari ini mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan enam pemancing termasuk tekong yang tidak pulang selepas keluar ke laut sejak Isnin lepas.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapt Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramlie berkata mereka terdiri daripada Mohd Hafizol Hisham Zakaria, 29; Mohd Samerin Suhaimi, 29; Muhammed Hazim Luqman Zakaria, 19; Risidi Mohamad, 22; Mohamad Shahrul Ainmie, 19; dan Mohamad Zukarnain Mohamat Nor, 20.

Beliau berkata kesemua mereka sepatutnya pulang hari ini, dan pihaknya percaya bot kelas A yang dinaiki pemancing itu telah rosak ketika berada di laut, menyebabkan mereka tidak dapat dihubungi.

“Pihak APMM menerima laporan ahli keluarga mereka pada kira-kira pukul 8.50 malam tadi dan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan mengaktifkan serta mengkoordinasikan operasi di laut pada pukul 3.15 petang tadi dengan menyalurkan maklumat awal kepada aset-aset Maritim yang melakukan rutin rondaan bagi membuat pemantauan serta pengesanan.

“Operasi turut dibantu oleh Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman bagi mengesan kedudukan bot tersebut dalam lingkungan 20 hingga 30 batu nautika dari pantai Kemaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Muhammad Suffi menasihatkan orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut untuk sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan sebarang aduan serta kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu