Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

Bot karam, 10 pendatang tanpa izin ditemukan lemas

Kota Tinggi – Seramai 10 pendatang tanpa izin ditemukan lemas manakala 21 lagi selamat apabila bot dinaiki mereka karam dipercayai akibat cuaca buruk di perairan Tanjung Balau, di sini awal hari ini.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata kejadian itu dilapor pada 4.30 pagi dan operasi mencari serta menyelamat mangsa yang masih hilang sedang dilakukan.

“Berdasarkan maklumat awal, kira-kira 60 pendatang tanpa izin berada di dalam bot itu…10 mayat ditemukan oleh pasukan Tentera Darat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengaktifkan Op Carilamat bermula 8.50 pagi ini dengan mengatur gerak pesawat AW 139 Agusta, kapal KM Tegas dan bot Petir 50.

Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kejadian daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, yang mendapat maklumat berhubung penemuan bot berkenaan di pantai itu daripada Markas Taktikal Tanjung Sepang, katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,