Social
100

Bot karam : Dua ditemukan selamat, seorang masih hilang

Kota Bharu – Dua pencandat sotong yang hilang selepas bot jenis fiber yang mereka naiki karam akibat dipukul ombak di perairan Kuala Besar di sini malam tadi ditemukan selamat pada kira-kira 3 petang.

Bagaimanapun, nasib seorang lagi rakan mereka iaitu Zulshahmi Danial Zulazman, 26, belum diketahui.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata kedua-dua mangsa yang diselamatkan pemancing dijumpai dalam keadaan sedang berpaut pada sebuah kotak menyimpan ikan kira-kira 10 batu nautika atau 18 kilometer dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dekat sini.

Beliau berkata Mat Awang @ Jali, 54, dan Mat Harun Mohd Nor, 55, dalam keadaan lemah ketika dijumpai dan mereka terus dibawa ke Jeti Nelayan Pulau Gajah, Pengkalan Chepa sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

“Ekoran seorang lagi mangsa belum ditemui, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ibu Zulshahmi, Suzey Mustafa, 51, berkata anak bongsunya keluar dari rumah di Nilam Puri petang semalam selepas memberitahu akan ke laut untuk mencandat sotong.

“Biasanya dia akan balik lewat ke rumah sekiranya keluar ke laut. Hari ini dia tidak pulang langsung dan pagi tadi juga saya menerima panggilan daripada menantu lelaki mengenai kejadian bot dinaiki karam,” katanya.

Suzey berharap Zulshahmi ditemukan selamat namun reda jika perkara sebaliknya berlaku.

Terdahulu, dilaporkan tiga pencandat sotong dikhuatiri lemas selepas bot fiber yang mereka naiki karam akibat dipukul ribut kira-kira 10 batu nautika dari Jeti LKIM di Kuala Besar dekat sini dalam kejadian pada 8.30 malam. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu