Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Bot karam: Radius operasi SAR hari keempat di laut, udara diperluas

Kota Tinggi – Radius operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari keempat bot karam di Tanjung Balau di sini, diperluaskan kepada 76.5 batu nautika persegi untuk aset udara manakala pencarian di laut pula merangkumi 106.02 batu nautika persegi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi kenyataan pagi ini memaklumkan, keseluruhan kawasan pencarian setakat ini adalah seluas 182.5 batu nautika persegi meliputi Tanjung Balau hingga ke Sungai Rengit.

Menurut Maritim Malaysia, pencarian melibatkan dua pesawat udara daripada Maritim Malaysia dan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia, manakala pencarian di laut pula melibatkan empat aset daripada Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Marin.

“Pencarian di pesisir pantai juga diteruskan dengan keseluruhan anggota penyelamat di darat, udara dan juga laut melibatkan seramai 77 orang,” katanya.

APMM memaklumkan pencarian di laut juga masih berdepan dengan kesukaran berikutan cuaca kurang baik yang berterusan dengan ombak besar setinggi tiga hingga lima meter, sekali gus menghalang jarak penglihatan.

APMM pada masa sama turut menjelaskan tiada penemuan baharu direkodkan setakat 8 pagi.

Setakat semalam, seramai 21 mangsa terkorban manakala 13 lagi selamat dan lebih 16 dikhuatiri masih hilang, lapor Bernama.

Tags: , , ,