Kuala Lumpur Post

Social

Broker saham dihukum gantung sampai mati kerana bunuh ibu bapa angkat

SEREMBAN —  Seorang bekas broker saham dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis atas dua pertuduhan membunuh ibu bapa angkatnya lima tahun lalu.

Hakim Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas tertuduh Tan Kian Ngip, 45, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Selepas saya melihat dan mendengar hujahan pemberat yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sahaja, memandangkan tertuduh tidak ingin mengemukakan apa-apa rayuan atas hukuman, saya dengan ini memutuskan tertuduh dijatuhkan hukuman mati dengan gantung diri pada tarikh serta tempat yang akan ditetapkan kelak,” katanya pada prosiding keputusan, hari ini.

Mengikut pertuduhan yang bacakan secara berasingan, Tan didakwa membunuh Eng Chong Hwa, 67, dan Tan Kim Joo, 73, dengan menikam menggunakan pisau.

Semua kesalahan itu dilakukan di Taman Desa Melati, Nilai antara 4 petang hingga 7.45 malam, 24 Julai 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.