Kuala Lumpur Post

Nation

Bukan semua parkir boleh digunakan tanpa bayaran : DBKL

KUALA LUMPUR — Bukan semua parkir kenderaan bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh digunakan tanpa bayaran selepas waktu pejabat.

DBKL ketika menjelaskan perkara itu dalam satu kenyataan, Hari Sabtu berkata terdapat 11 parkir kenderaan telah dilesenkan sebagai joki parkir di sekitar bandar raya ini.

“Berkenaan aduan yang tular dalam media sosial dan media elektronik mengenai ulat parkir didakwa mengenakan caj parkir di Bukit Bintang, hasil siasatan mendapati tapak dimaksudkan adalah tempat letak kereta terbuka di tepi lorong Off Jalan Sultan Ismail.

“Tapak itu adalah petak parkir bawah kawalan DBKL dan dikenakan bayaran parkir. Bayaran dikenakan pada waktu pejabat hingga jam 5 petang.

“Pada masa sama, DBKL telah menyewakannya kepada syarikat persendirian untuk menguruskan lapan petak letak kereta secara joki yang beroperasi selepas waktu pejabat,” menurut kenyataan itu.

DBKL berkata, pihak operator joki juga telah diarah meletakkan papan tanda makluman operasi parkir kereta secara joki di tapak berkenaan, dengan segera bagi memastikan orang awam maklum mengenai perkhidmatan itu.

Baru-baru ini, tular video menerusi laman TikTok seorang pengguna yang memaparkan kesan calar pada bahagian pintu keretanya yang disyaki dilakukan ulat parkir, kerana enggan membayar caj parkir sebanyak RM15.

Dalam pada itu, DBKL memaklumkan, pihaknya mengambil serius mengenai sindiket ulat parkir di sekitar ibu negara.

Sejak tahun lalu hingga kini, katanya, seramai 75 ulat parkir telah diambil tindakan bawah Seksyen 50(3) dan Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pasukan DBKL akan melakukan pemantauan serta penguatkuasaan lebih kerap di kawasan tumpuan ulat parkir, iaitu Bukit Bintang, Jalan Beremi dan Jalan Walter Granier, bagi membanteras ulat parkir.

“DBKL juga ingin menasihati orang awam supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, terutama di kawasan pusat bandar.

“Ia bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan membantu usaha DBKL mengurangkan pelepasan karbon,” menurut kenyataan itu lagi.

Tags: ,