Kuala Lumpur Post

Nation

Bukan senang mahu siasat Tun : PM Anwar

KLANG — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bukan mudah untuk menjalankan sebarang siasatan terhadap golongan kenamaan.

Justeru, beliau meminta rakyat menyokong usaha kerajaan dalam menyiasat golongan atasan termasuk individu yang bergelar Tun berhubung kecurian dana kerajaan.

“Kami akan kejar penyangak itu, saya tidak peduli, apabila kita nak ambil tindakan (ke atas golongan tersebut) rakyat marah, Perdana Menteri ini kasar sangat. Bagi saya aneh, sepatutnya kamu sokong. Bukan senang tahu, mahu siasat Tun,Tun.

“Siasat ketua kampung senang, siasat cikgu sekolah lagi senang, saya mahu siasat orang kaya yang besar-besar curi duit ingat senang ke? Tak senang. Kita mahu jaga negara ini, jangan bagi orang curi harta rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan 2024 di Dataran Majlis Perbandaran Klang @ Padang Chetty di sini malam tadi.

Pada 17 Januari, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya mengambil keterangan daripada seorang anak bekas Perdana Menteri dipercayai berhubung perniagaannya pada akhir tahun 1990-an.

Sebelum itu, isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid dan dua anaknya hadir ke ibu pejabat SPRM dipercayai bagi membantu siasatan berkaitan bekas Menteri Kewangan dan ahli perniagaan itu.

Disember lalu, SPRM menyita bangunan Menara Ilham di Kuala Lumpur dipercayai berkaitan kes penyelewengan dana negara berjumlah lebih RM2.3 bilion membabitkan seorang tokoh korporat dan bekas menteri kanan.

Sementara itu, Anwar juga berkata selepas kerajaan berjaya membasmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, beliau kini menunggu laporan lengkap dari Selangor dalam tempoh dua minggu berkenaan perkembangan sama.

“Sudah tentunya Selangor kita dapat uruskan dengan baik, dengan hasil yang baik dan boleh serta mampu selesaikan. Saya yakin Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan beres masalah kemiskinan,” katanya.

Tags: , , ,