Social
479

Bunuh anak: Suami isteri dihukum mati

Shah Alam – Pasangan suami isteri hanya mampu menangis apabila dijatuhi hukuman mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh anak lelakinya berusia lapan tahun di sebuah pusat urut tempat mereka bekerja, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin turut menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap
kedua-dua tertuduh, Aaron Teoh Eng Wan, 37, dan isterinya, En Sit Mooi, 40, yang juga didapati bersalah atas pertuduhan kedua iaitu melakukan penganiayaan sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa yang sama.

Hukuman penjara itu diarahkan bermula dari tarikh tangkap pada 26 Mei 2017.

Dalam penghakimannya, Noorin berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan telah membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Fakta yang dikemukakan telah membuktikan intipati pembunuhan seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 300 Kanun Keseksaan dan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” jelasnya.

Berdasarkan pertuduhan, Aaron Teoh dan Sit Mooi didakwa atas pertuduhan membunuh anak sulung daripada dua beradik itu di sebuah premis di Regalia Business Centre, Subang Jaya antara pukul 2 petang hingga 3.30 petang pada 26 Mei 2017.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, sekiranya disabitkan kesalahan.

Aaron dan Sit Mooi turut didakwa melakukan penganiayaan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di lokasi, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 31 (5) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Yahya mengemukakan 28 saksi sepanjang perbicaraan bermula pada Julai 2019. Sementara, pembelaan diwakili Peguam Tan Teck Yew, Tina Ong dan Chee Wai Yee hanya mengemukakan dua saksi iaitu pasangan suami isteri itu yang memilih memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi.

Semasa pembukaan perbicaraan sebelum ini, Siti Fatimah memberitahu mahkamah bahawa sebelum meninggal dunia, mangsa telah dipukul oleh ibu bapanya menggunakan rotan dan kayu.

Keterangan pakar patologi menunjukkan punca kematian kanak-kanak itu adalah akibat pendarahan di bawah kulit dan otot yang meluas serta teruk akibat daripada hentakan tumpul berganda.

Pasangan suami isteri itu pertama kali dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 5 Jun 2017. – Kosmo Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu