Kuala Lumpur Post

Social

Bunuh isteri : Pemandu lori berdepan hukuman mati

KLANG — Pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana membunuh isterinya di sebuah pangsapuri di Bandar Botanik dekat sini, minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh S Suria Raj, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mamat.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor BH Online.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh A Kirshashini, 28, dalam bilik tidur sebuah unit pangsapuri di Bandar Botanik antara jam 6.30 pagi hingga 7 pagi pada 7 Jun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum tidak kurang 12 sebatan sekiranya sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan Suria Raj diikat jamin sebelum menetapkan 3 September ini bagi penyerahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan mental tertuduh.