Social
2K

Bunuh pengawal : Ahli perniagaan berdepan hukuman mati

Ipoh – Seorang ahli perniagaan berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana membunuh seorang pengawal keselamatan, Disember lalu.

Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33, dikenakan tuduhan baharu itu berikutan mangsa, S. Thava Sagayam, 64, yang sebelum ini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.

Lelaki terbabit sebelumnya dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari lalu di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah.

Kes tersebut dijadualkan untuk sebutan semula hari ini, namun mahkamah membenarkan pihak pendakwaan untuk menarik balik dan melepaskan tanpa membebaskan tertuduh daripada pertuduhan asal.

Permohonan untuk menggugurkan pertuduhan di bawah Seksyen 335 dan mendakwa semula tertuduh dengan dakwaan membunuh dibuat Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi.

Prosiding terhadap tertuduh diteruskan dengan pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan oleh jurubahasa.

Dalam prosiding tersebut, tertuduh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Thava Sagayam, di tingkat tujuh Menara Majestic, Jalan CM Yusuff antara pukul 8 hingga 9.30 pagi pada 29 Disember 2020, lapor Kosmo Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu