Social
634

Bunuh rakan : Dua dihukum mati

Kuala Terengganu – Dua pemungut telur penyu hari ini dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh rakan mereka yang cuba meleraikan pergaduhan, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menjatuhkan hukuman itu ke atas Faizol Aznan Muhamad, 40, dan Mohd Riduan Ismail, 32, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kedua-dua tertuduh, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didakwa membunuh Razak Abdullah, 50, yang juga pemungut telur penyu, di tepi Pantai Geliga berhadapan Sekolah Kebangsaan Geliga Chukai, Kemaman pada kira-kira 7 pagi 3 Jun 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 35 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Faizol Aznan telah bertengkar dengan seorang lagi pemungut telur penyu dikenali sebagai Mohd Sahrol Afsam berhubung pembahagian kawasan penyu bertelur di pantai itu.

Razak, yang berada di lokasi kejadian, cuba meleraikan pertengkaran itu namun Faizol Aznan berang lalu memukul muka mangsa bertubi-tubi dengan sebatang kayu sebelum Mohd Riduan secara tiba-tiba masuk campur dan menghentak muka mangsa menggunakan topi keledar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail dan Ghazali Ismail, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu