Social
150

Buruh mengaku bersalah peras ugut RM2

Kota Bharu – Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan pemerasan terhadap wanita warga emas sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM2, April lalu.

Tertuduh, Muhamad Fikrianisfatullah Mohd Azmi, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pemerasan terhadap seorang wanita berusia 63 tahun dengan mendatangkan ketakutan bahawa mangsa akan dicederakan sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM2.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh, kira-kira 4.35 petang, pada 5 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry.

Mahkamah menetapkan 6 Julai ini untuk tarikh jatuh hukum.

Pada prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, Muhamad Fikrianisfatullah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencuri sebuah motosikal jenis Honda EX5 di hadapan sebuah rumah Kampung Pulau Gadong, Jalan Kuala Besar, jam 3 petang, pada 17 April lalu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan dan tertuduh diwakili peguam bela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd Amin.

Ariyani memohon mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 berikutan tertuduh bekerja sebagai buruh dengan gaji RM50 sehari.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. — BH Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu