Kuala Lumpur Post

Nation

Cabaran menggubal ‘Lemon Law’ antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR — Cabaran dalam menggubal undang-undang ‘Lemon Law’ bagi melindungi pengguna dalam urusan pembelian kenderaan antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Lemon Law” merujuk kepada undang-undang yang melindungi pembeli barang pengguna, khususnya kenderaan berkaitan produk yang berulang kali gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi. Undang-undang ini memastikan bahawa pembeli boleh mendapatkan penggantian atau bayaran balik bagi produk yang dianggap “lemon” (produk cacat).

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, perkara itu akan dibangkitkan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada sesi Soal Jawab Lisan.

Shamshulkahar ingin tahu tahap kerjasama yang diberikan pemain industri terhadap cadangan pengenalan undang-undang berkenaan.

Pada sesi sama, Chong Zhemin (PH-Kampar) meminta penjelasan Menteri Komunikasi berkenaan status terkini pelaksanaan 5G dwirangkaian dan jumlah pegangan ekuiti yang akan dilepaskan Digital Nasional Bhd kepada syarikat telekomunikasi setelah pelaksanaan projek itu selesai kelak.

Usai sesi itu, Dewan Rakyat akan menyambung perbahasan bagi usul Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 yang dibacakan buat kali kedua semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga dijadual membacakan buat kali kedua Rang Undang-Undang Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024.