Nation
203
0

Calon SPM positif COVID-19 tidak duduki peperiksaan

Kota Bharu – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kelantan yang dijangkiti Covid-19 tidak akan menduduki peperiksaan esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin berkata, mereka akan menduduki peperiksaan pada tarikh yang ditetapkan kemudian.

“Mereka ini akan dikumpulkan dalam satu masa dan tarikh yang sesuai untuk menjalani peperiksaan itu selepas mereka habis tempoh kuarantin.

“Berapa jumlah bilangan pelajar dan sekolah yang tangguh, saya tidak mempunyai maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Negeri di Kompleks Darulnaim di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 41 calon SPM di sebuah sekolah berasrama di Machang disahkan positif Covid-19.

Kesemua pelajar terbabit dibawa ke pusat kuarantin di Dewan Jubli Perak dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) selepas disahkan positif.

Calon SPM berkenaan adalah kontak kepada Kluster Pangkal Changgong yang membabitkan tiga daerah iaitu Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Ketika mengulas mengenai vaksin, Dr Izani berkata, petugas barisan hadapan di negeri itu dijangka menjadi pasukan terawal yang akan menerima vaksin pada Mac nanti.

“Kita jangkakan kakitangan pasukan perubatan akan menerima terlebih dahulu sebelum barisan Exco, pasukan keselamatan dan lain-lain.

“Namun, perkara itu belum dimuktamadkan lagi dan masih dalam peringkat perbincangan,” katanya. – Harian Metro

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu