Social
79

CCID Scam Response Centre ditubuh perangi Macau Scam

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan sebuah pusat sehenti dikenali sebagai CCID Scam Response Centre bagi memerangi jenayah tipu panggilan atau Macau Scam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata menerusi pusat yang beroperasi sejak 15 Feb itu, orang ramai boleh membuat pertanyaan dan semakan berkaitan jenayah tersebut.

Beliau berkata pusat itu turut berfungsi sebagai penerima maklumat pertama (maklumat nombor telefon dan maklumat akaun bank yang diberikan oleh sindiket Macau Scam) kejadian penipuan daripada mangsa atau mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan Macau Scam.

“Penerima panggilan boleh mendapatkan pengesahan sama ada panggilan yang diterima benar-benar daripada pejabat kerajaan, penipuan Macau Scam atau lain-lain kegiatan menipu.

“Pada tahun 2019, sebanyak 5,725 kes Macau Scam dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak lebih RM254 juta manakala pada tahun lepas, sebanyak 6,003 kes dicatatkan dengan jumlah kerugian lebih RM287 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainuddin berkata sepanjang tempoh Januari hingga 24 Mac, sebanyak 1,392 kes dilaporkan melibatkan kerugian lebih RM38 juta.

Beliau berkata jumlah yang dicatat menunjukkan peningkatan ketara dan jelas merupakan satu situasi yang perlu ditangani segera.

“JSJK menyeru orang ramai agar memanfaatkan kemudahan ini bagi memastikan ancaman jenayah Macau Scam dapat diatasi dan matlamat pencegahan dapat dicapai.

“Macau Scam merupakan modus operandi jenayah yang kerap berlaku iaitu penjenayah menggunakan aplikasi Voice Over Internet Protocol untuk menyembunyikan identiti semasa menghubungi mangsa,” katanya.

Antara taktik yang digunakan oleh penjenayah Macau Scam untuk memperdayakan mangsa ialah dengan menyamar sebagai pihak berkuasa, pegawai institusi kewangan dan perkhidmatan, malah ada yang menyamar sebagai ahli keluarga, rakan atau orang kenamaan.

Zainuddin berkata pusat berkenaan boleh dihubungi melalui talian 03-26101559 dan 03-26101599 setiap hari bermula 8 pagi hingga 9 malam. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu