Social
220
0

Cekik rakan hingga mati kerana telefon bimbit

Jakarta –  Dendam akibat dihina miskin kerana tidak mampu membeli telefon bimbit menyebabkan seorang lelaki tergamak mencekik rakannya sehingga mati.

Tribunnews melaporkan insiden itu berlaku pada 27 November lalu di kawasan sunyi berhampiran pasar di Malang, Jawa Timur.

Suspek berusia 20 tahun manakala mangsa berumur 14 tahun.

Ketua Polis Daerah Malang, Hendri Umar berkata, kes itu terbongkar selepas ibu bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anak mereka pada 29 November lalu.

Beliau berkata, pasangan berkenaan mendakwa anak mereka sudah dua hari tidak pulang ke rumah.

“Sehari selepas laporan itu, satu mayat ditemui di sebuah kebun dalam keadaan ditutup dengan daun ubi dan betik.

“Pengecaman identiti dilakukan mendapati ia adalah mayat seorang remaja yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Mayat itu kemudian di bawa ke hospital untuk bedah siasat dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan di leher mangsa dipercayai akibat dicekik,” katanya.

Siasatan lanjut membawa kepada penahanan suspek yang dipercayai individu terakhir bertemu mangsa sebelum dia dilaporkan hilang.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku bertemu mangsa di sebuah warung dan ada bertanya mengenai telefon bimbit baharu yang dibawa rakannya.

“Pertanyaan itu dibalas oleh mangsa dengan cemuhan hingga menimbulkan kemarahan suspek.

“Lelaki itu kemudian mengajak mangsa ke sebuah kawasan kononnya untuk melihat jaring dipasang untuk menangkap burung. Ia sebenarnya helah bagi membunuh rakannya,” katanya.

Hendri berkata, suspek dipercayai mencekik mangsa hingga pengsan, tetapi rakannya itu sedar tidak lama kemudian dan melarikan diri ke kawasan kebun.

Panik dengan apa yang berlaku, suspek mengejar mangsa dan mencekiknya hingga mati.

“Suspek dikatakan sanggup menunggu selama dua jam untuk memastikan mangsa benar-benar mati.

“Kira-kira jam 5 petang, barulah suspek meninggalkan lokasi kejadian bersama telefon bimbit dan barangan milik mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, suspek juga memberitahu polis bahawa dia tidak kesal dengan perbuatannya kerana menganggap ia balasan bagi orang yang menghinanya. – Harian Metro

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu