Social
304

CEO didenda RM145,000 gagal lapor rasuah

Kuantan – Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) warga Singapura didenda RM145,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sogokan bernilai RM33,850 diterimanya, sejak dua tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain juga memerintahkan Cheung Wing Shing, 60, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan, dipenjarakan selama 16 bulan jika tertuduh yang bekerja di syarikat rangkaian restoran gagal menjelaskan denda tersebut.

Cheung didakwa gagal melaporkan sogokan bernilai RM26,850 yang diterimanya pada 23 Julai 2019 dan RM7,000 pada 14 Jan 2021 yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat berkaitan dirinya menerusi pemindahan wang dalam talian di sebuah bank di Genting Highlands.

Wang tersebut didakwa diterima daripada dua syarikat kontraktor sebagai bayaran kepada tertuduh kerana melantik mereka untuk melaksanakan kerja pengubahsuaian dan pembekalan peralatan dapur di restoran bawah kendalian tertuduh.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Joshua Kevin merayu mahkamah tidak mengenakan hukuman berat memandangkan anak guamnya telah memberi kerjasama kepada SPRM dan mengaku bersalah pada kali pertama dihadapkan ke mahkamah.

“Kami mohon denda tidak terlalu tinggi kerana keadaan kewangan tertuduh juga terkesan akibat pandemik COVID-19, selain tertuduh juga berjanji tidak akan mengulangi kesilapan ini yang merupakan kesalahan kali pertamanya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon hukuman berat dikenakan bagi menunjukkan SPRM tegas membanteras jenayah rasuah bagi menangani persepsi pihak luar termasuk tohmahan di laman sosial yang mempersoalkan keseriusan suruhanjaya tersebut.

Tertuduh membayar denda tersebut, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu