KUALA LUMPUR — Beberapa pemimpin kanan termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) dan isterinya antara yang ditahan polis dalam Op Global, semalam.
Harian Metro yang memetik sumber berkata difahamkan setakat ini seramai 19 orang termasuk pemimpin jemaah itu ditahan dalam operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di beberapa lokasi.
Turut difahamkan, individu lain yang ditahan adalah anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad, katanya.
Menurut sumber itu, mereka yang ditahan terdiri 12 lelaki dan tujuh wanita berusia 30 hingga 65 tahun.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain yang dihubungi turut mengesahkan penahanan itu dan maklumat lanjut akan diumum nanti.
Media sebelum ini melaporkan 172 daripada 402 kanak-kanak diselamatkan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan menerusi Op Global disyaki dieksploitasi sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Seramai 159 individu membabitkan 39 lelaki dan 120 wanita turut ditahan dalam Op Global 11 Sept lalu.
Sementara itu, Razarudin berkata lima individu termasuk anak pemimpin GISBH, yang ditahan dalam Op Global di sempadan Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, Kedah, direman tujuh hari, bermula hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek berusia 30 hingga 41 tahun terbabit direman sehingga 25 September ini.
“Perintah reman dikeluarkan selepas permohonan dibuat polis di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Mereka direman bagi melengkapkan siasatan yang sedang dilakukan polis terhadap syarikat berkenaan, katanya.