Social
247
0

CEO rugi RM1 juta terlibat pelaburan forex

Melaka – Gara-gara tertarik dengan pelaburan saham yang memberi pulangan lumayan, seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat mendakwa kerugian RM1 juta selepas melabur dalam sebuah syarikat yang menawarkan skim tukaran mata wang asing (forex) sejak 2018.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Supt E. Sundra Rajan berkata mangsa seorang lelaki berusia 53 tahun itu telah membuat transaksi bayaran modal pelaburan sebanyak tujuh kali secara berperingkat dalam tempoh kira-kira tiga tahun.

Beliau berkata mangsa bagaimanapun hanya menerima pulangan sebanyak RM50,000 secara berperingkat sebelum suspek bertindak menghilangkan diri.

“Suspek yang berusia 44 tahun itu adalah pemilik sebuah syarikat mengajar orang ramai melabur saham sebelum mangsa tertarik menyertai pelaburan forex selepas berjumpa dengannya.

“Mangsa menyedari dirinya ditipu ekoran pulangan yang diterima tidak seperti modal yang dilaburkan dan telah membuat laporan di Balai Polis Malim pada 31 Dis lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Berdasarkan maklumat yang diterima, Sundra Rajan berkata sepasukan polis dari Unit Risikan dan Operasi JSJK IPK Melaka berjaya menahan suspek di sebuah premis di Seremban, semalam dan merampas pelbagai dokumen berkaitan pelaburan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata seorang kerani kerugian RM92,450 gara-gara ingin mendapatkan pinjaman berjumlah RM30,000 menerusi laman sesawang yang memaparkan iklan pinjaman wang pada 30 Dis lepas.

Menurutnya, mangsa seorang wanita berusia 30-an itu telah membuat 16 transaksi bayaran secara berperingkat ke lapan akaun berbeza dalam tempoh dua hari bermula 30 Dis.

“Mangsa menyedari ditipu setelah bayaran yang dikehendaki suspek dijelaskan namun pinjaman wang yang dijanjikan tidak diterima,” katanya.

Beliau berkata mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Malim kelmarin dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya orang ramai dinasihatkan membuat pinjaman melalui institusi kewangan berlesen dan menyemak nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau dengan memuat turun aplikasi ‘Check Scammer CCID’ di Google Play Store. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu