Nation
519

‘Chakrir Khoj’:Suruhanjaya Tinggi Bangladesh tidak berunding dengan KSM

Kuala Lumpur – Pelancaran portal pekerjaan “Chakrir Khoj” oleh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di negara ini dibuat tanpa sebarang rundingan dan pemakluman rasmi kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Menterinya Datuk Seri M Saravanan yang terkejut dengan tindakan suruhanjaya tinggi itu berkata adalah tidak wajar bagi mereka melancarkan portal pekerjaan kerana ia bukan peranan yang sepatutnya dilaksanakan oleh perwakilan diplomatik asing di negara ini.

Beliau berkata portal itu bukan sahaja bercanggah dengan hasrat kerajaan mengenai perancangan keperluan guna tenaga pekerja warga asing, malah pada masa sama akan memburukkan imej kerajaan dan kementerian itu.

“Tindakan oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh ini boleh mendorong kemasukan pendatang tanpa izin warga Bangladesh ke negara ini kerana tertarik dengan peluang yang dijanjikan oleh portal pekerjaan tersebut.

Ini secara tidak langsung boleh menjurus kepada eksploitasi pekerja-pekerja tersebut yang boleh memberikan imej negatif kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini bagi merujuk berita yang tersiar di media tempatan mengenai pelancaran portal pekerjaan itu pada 8 April lepas.

Portal pekerjaan itu dikatakan bertujuan membantu majikan mencari pekerja warga Bangladesh di negara ini dan juga membantu warganya yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau tinggal melebihi tempoh masa untuk menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja untuk pendatang tanpa izin yang diumumkan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun lepas.

Saravanan berkata kementerian itu memandang serius tindakan yang diambil pihak suruhanjaya tinggi itu memandangkan ia boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat khususnya pihak majikan.

Beliau berkata program rekalibrasi yang dilaksanakan KSM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mulai 16 Nov 2020 sehingga 30 Jun depan adalah dikendalikan sepenuhnya oleh agensi kerajaan dan majikan-majikan yang memerlukan tenaga kerja tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga.

“Sektor pekerjaan yang terlibat pula hanya merangkumi sektor pembuatan, pembinaan, perladangan dan pertanian,” katanya dan menambah, di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246), pengambilan pekerja asing di negara ini hanya boleh dikendalikan oleh agensi pekerjaan swasta yang berlesen dengan pihak Jabatan Tenaga Kerja.

Katanya, portal “Chakrir Khoj” itu juga akan menjejaskan peluang dan usaha lebih daripada 400 Agensi Pekerjaan Swasta (APS) Kategori C yang berdaftar dengan KSM untuk membawa masuk pekerja asing, memandangkan agensi berkenaan telah hampir setahun tidak menjalankan perniagaan tetapi perlu membayar fi yang tinggi untuk kekal sebagai ejen.

Saravanan berkata kementerian itu juga mempunyai portal pekerjaan nasional iaitu MyFutureJobs dengan kekosongan jawatan yang melibatkan pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang diiklankan di portal berkenaan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu