Kuala Lumpur Post

Social

Chef Wan diarah bayar RM150,000 kerana fitnah bekas menantu

PUTRAJAYA — Mahkamah Rayuan memerintahkan cef selebriti Redzuawan Ismail atau Chef Wan membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantunya Gavin Edward O’Luanaigh berhubung penerbitan berunsur fitnah terhadap O’Luanaigh di platform media sosial.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Azizah Nawawi, Lim Chong Fong dan Wong Kian Kheong membenarkan rayuan O’Luanaigh untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa kenyataan yang didakwa dibuat oleh cef itu tidak memfitnah O’Luanaigh.

Dalam menyampaikan keputusan mahkamah, Azizah memerintahkan Cef Wan membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan kepada O’Luanaigh dan kos RM40,000 untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Beliau juga memberikan injunksi berkekalan yang melarang Chef Wan daripada menerbitkan kenyataan fitnah terhadap bekas menantunya itu.

Beliau juga memerintahkan Chef Wan membayar faedah 5% setahun atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh saman difailkan sehingga tarikh penyelesaian penuh.

Semasa menyampaikan alasan penghakiman, Wong berkata mahkamah mendapati bahawa hantaran dalam laman sosial Instagram dan Facebook oleh Chef Wan telah memfitnah O’Luanaigh.

Beliau juga berkata Chef Wan telah melanggar janji kepada mahkamah untuk tidak menyiarkan kenyataan fitnah terhadap O’Luanaigh.

O’Luanaigh yang merupakan seorang warga British memeluk Islam pada 20 Nov 2006 dan menggunakan nama Salahudin Ghafffar. Beliau berkahwin dengan anak Cef Wan, pelakon Serina Redzuawan pada 2010 sebelum bercerai pada Ogos 2017.

Dia memfailkan saman itu pada Feb 2021 dengan mendakwa bahawa lapan hantaran media sosial oleh bekas bapa mentuanya mengenai dia dan isterinya sekarang dan memfitnah mereka.

Dalam pernyataan pembelaannya, Chef Wan berkata kenyataan yang disiarkan dalam hantaran itu adalah berdasarkan fakta, komen yang adil, dilindungi oleh keistimewaan mutlak dan layak serta dibuat tanpa niat jahat.

Pada 11 Mei 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam sebahagiannya membenarkan tuntutan O’Luanaigh untuk injunksi bagi menghalang bekas bapa mentuanya itu daripada menerbitkan sebarang dakwaan libel dan palsu terhadapnya.

Hakim Rozi Bainon turut memerintahkan Chef Wan menurunkan kelapan-lapan hantaran berkenaan yang menjadi subjek dalam tuntutan saman fitnah tersebut.

Hakim, bagaimanapun, berpendapat bahawa kenyataan yang disangkal itu tidak memfitnah O’Luanaigh dan tidak diterbitkan dengan niat jahat..

O’Luanaigh diwakili peguam Nur Khidmah Huzaisham dan Nur Dalilah Zainol Abidin manakala M Reza Hassan mewakili Cef Wan.