Social
736

Cikgu sekolah memandu disaman JPJ

Seberang Perai – Gara-gara membiarkan calon sekolah memandu mengendalikan kereta bersendirian, seorang tenaga pengajar di sebuah institut memandu di Seberang Jaya di sini disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini.

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md. Isa berkata, pihaknya mengesan kesalahan itu semasa mengadakan pemeriksaan mengejut di institut memandu tersebut.

“Kami terpaksa mengeluarkan notis saman terbabit kerana tindakannya membiarkan calon tanpa pengawasan ketika memandu boleh mengundang bahaya.

“Ini termasuklah kemalangan atau sebarang insiden tidak diingini yang lain,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Adenan, selain kesalahan itu, pihaknya mengesan satu lagi kesalahan teknikal iaitu berkaitan kenderaan yang digunakan di institut memandu berkenaan.

“Hasil pemeriksaan kami mendapati, terdapat tayar kenderaan di situ yang tidak diselenggara dengan baik.

“Jadi, satu notis telah dikeluarkan terhadap kesalahan itu kerana ia juga boleh membahayakan keselamatan termasuk mengakibatkan kemalangan selepas ini,” katanya. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu