Nation
547

Covid-19: 15 jemaah masjid meninggal dunia dalam 2 minggu

Alor Setar – Seramai 15 jemaah masjid di Taman Mahsuri, Jitra disahkan meninggal dunia akibat dijangkiti COVID-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman.

Katanya, kematian dalam kalangan jemaah masjid itu dipercayai berlaku sejak dua minggu lalu selepas virus itu merebak dalam kalangan jemaah pada Mei.

“Ya hingga hari ini sudah 15 orang meninggal dunia, maklumat ini saya perolehi daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah. Virus ini merebak sejak tercetusnya kluster di Taman Mahsuri yang turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 18 Mei hingga 31 Mei lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas mengenai mesej tular mendakawa 14 jemaah masjid Taman Mahsuri, Jitra meninggal dunia dalam masa dua minggu selepas positif COVID-19.

Turut tular video berdurasi 32 saat memaparkan wajah individu yang dipercayai ahli jemaah masjid berkenaan yang sudah meninggal dunia.

Dr Mohd Hayati, berkata kematian itu menunjukkan virus COVID-19 sangat bahaya sehingga boleh meragut nyawa ramai orang dalam masa yang singkat.

“Kita harapkan virus ini cepat-cepatlah pergi. Kita juga harap orang ramai terus mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin seterusnya kita dapat membentuk imuniti berkelompok,” katanya.

Pada 16 Mei lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan berlaku peningkatan kes secara mendadak serta kadar kebolehjangkitan yang tinggi di sembilan lokaliti dalam Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra.

Lokaliti berkenaan ialah Taman Mahsuri 2A, Taman Mahsuri 2B, Taman Mahsuri 2C, Pusat Perniagaan Bandar Barat, Kampung Paya Kerchut, Taman Tunku Anum, Kampung Lubuk Kawah, Taman Desa Tanjung dan Taman Desa Darul Aman Mukim Naga.

Hingga tarikh itu, KKM sudah melakukan 207 ujian saringan di semua lokaliti itu dan 94 daripadanya disahkan positif COVID-19. — BH Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu