Nation
116

Covid-19 : 2 kluster libatkan Hari Gawai dikesan di Sarawak

Kuching – Dua daripada tiga kluster baharu yang diisytihar oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini melibatkan sambutan Hari Gawai baru-baru ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN dalam kenyataan memaklumkan Kluster Kampung Sebandi Hilir merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan Kampung Sebandi Hilir di daerah Lundu yang terletak di Barat Daya Bahagian Kuching, berpunca daripada perhimpunan upacara ‘miring’ pada 31 Mei lepas sempena sambutan pra Hari Gawai.

Sejumlah 34 individu telah disaring dengan sembilan kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks manakala 25 kes didapati negatif.

Kluster Melatai pula merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan penempatan di kawasan Melatai, Jalan Selirik di Kapit, kira-kira 427 kilometer dari Kuching, yang berpunca daripada pergerakan sosial dan aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan Hari Gawai lepas.

“Sejumlah 139 individu telah disaring di mana 45 kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 23 kes didapati negatif dan 71 kes masih menunggu keputusan makmal,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Kluster Kampung Tabuan Haji Drahman merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan Kampung Haji Drahman, Kuching yang berpunca daripada kontak ahli keluarga dan pergerakan sosial dalam kalangan penduduk di lokaliti tersebut.

“Sejumlah 62 individu telah disaring di mana 33 kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks dan 29 kes didapati negatif,” menurut JPBN.

Sarawak mencatatkan 569 kes jangkitan baharu COVID-19 hari ini dengan 371 daripadanya dikesan di daerah Sibu, Kuching, Kapit, Miri dan Bintulu selain empat kematian baharu akibat wabak itu dilaporkan.

Sementara itu, JPBN turut melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di Rumah Panjang (Rh.) Jarop, Changkol, Lubok Antu di Bahagian Sri Aman yang telah bermula semalam hingga 24 Jun susulan peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan berkenaan.

“Selain itu, PKPD turut dilaksanakan di Kampung Sebandi Hilir, Lundu (12 hingga 25 Jun) dan Rh. Kintan, Merampu, Pakan yang terletak kira-kira 45 kilometer dari bandar Sarikei bermula hari ini hingga 28 Jun,” menurut kenyataan itu. — Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu