Nation
279

Covid-19 : 22 lagi kes varian baharu

Putrajaya – Kementerian Kesihatan merekodkan sebanyak 22 kes varian baharu varian membimbangkan (VOC), virus SARS-CoV-2 di antara 11 Jun hingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 14 daripadanya ialah varian Beta (B.1.351) dan lapan kes varian Delta (B.1.617.2).

Beliau berkata, kes baharu varian Beta (B.1.351) yang dilaporkan dikesan masing-masing tiga kes di Selangor, Sabah, dan Terengganu; dua kes di Kedah, dan masing-masing satu kes di Perak, Johor, dan Kelantan.

“Lapan kes baharu bagi varian Delta (B.1.617.2) pula dikesan masing-masing dua kes di Johor, Labuan, dan Negeri Sembilan; serta masing-masing satu kes di Perlis dan Pulau Pinang.

“Sehingga 19 Jun 2021, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) sebanyak 183 kes, iaitu 167 kes ialah VOC dan 16 kes VOI,” katanya hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, VOC yang dilaporkan ialah 137 kes varian Beta (B.1.351) yang semuanya kes jangkitan tempatan; 21 kes varian Delta (B.1.617.2), iaitu 12 kes jangkitan tempatan dan sembilan kes import; dan sembilan kes varian Alpha (B.1.1.7), iaitu empat kes jangkitan tempatan dan lima kes import.

Katanya, bagi kes VOI yang dilaporkan 12 kes varian Theta (P.3) yang membabitkan kes jangkitan tempatan; tiga kes varian Eta (B.1.525) kedua-duanya membabitkan kes import dan satu kes varian Kappa (B.1.617.1) yang dikesan dari kes import. — BH Online

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu