Nation
129

Covid-19 : 31% kes baharu Sabah dikesan menerusi saringan bergejala

Kota Kinabalu – Sabah merekodkan 1,752 kes positif COVID-19 hari ini dengan 31 peratus atau 538 kes dikesan melalui saringan bergejala, menjadikan jumlah kumulatif 103,437 kes di negeri itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata peningkatan kes positif harian di lima daerah di Sabah sebahagiannya dikesan melalui saringan bergejala.

Beliau berkata daripada 436 kes baharu di Kota Kinabalu hari ini, 144 daripadanya dikesan melalui saringan bergejala diikuti Tuaran (40 daripada 111 kes baharu), Penampang (71 daripada 228 kes baharu), Sandakan (49 daripada 113 kes baharu) dan Tawau (49 daripada 261 kes baharu).

“Jumlah kes melalui saringan bergejala yang tinggi merupakan peringatan kepada masyarakat untuk terus mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard semasa berada di khalayak ramai khususnya di tempat-tempat tertutup seperti pasar raya dan restoran.

“Ini juga antara sebab mengapa perlunya pekerja dan pelanggan di pasar raya dan restoran untuk lengkap dua dos vaksin COVID-19 (sebulan daripada sekarang) bagi mengurangkan risiko jangkitan sporadik di tempat-tempat lazim dikunjungi ramai orang,” katanya dalam kenyataan.

Masidi yang juga jurucakap berkaitan COVID-19 Sabah berkata pesakit baharu dalam kategori dua menjadi kumpulan terbanyak iaitu 972 kes atau 55.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes baharu hari ini dan trend itu sejajar dengan peningkatan kes melalui saringan bergejala.

Beliau berkata 10 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan di tiga daerah hari ini merangkumi lima kes di Kota Kinabalu, Tawau (empat) dan Keningau (satu).

Katanya, seramai 847 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 86,976 orang manakala 5,168 pesakit masih menerima rawatan di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Awam, pusat tahanan sementara dan penjara serta fasiliti swasta.

Mengenai perkembangan program vaksinasi di Sabah, Masidi berkata 44.6 peratus penduduk dewasa negeri itu telah memperoleh satu dos vaksin COVID-19 dan 20.8 peratus sudah melengkapkan kedua-dua dos suntikan setakat ini.

Seramai 1.37 juta rakyat Sabah atau 49.8 peratus telah membuat pendaftaran sebagai penerima vaksin menerusi pelbagai platform disediakan, katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu