KUALA LUMPUR — Enam kes varian baharu COVID-19 XBB1.16 atau Arcturus dikesan di Lembah Klang, bagi menjadikan jumlah kes dijangkiti meningkat kepada 12 setakat ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata daripada jumlah itu, empat kes baharu bagi varian itu dikesan di Selangor manakala dua lagi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, katanya, individu yang dijangkiti Arcturus yang juga subvarian kepada Omicron itu hanya mengalami gejala ringan dan dilaporkan stabil.
“Penilaian peringkat global melaporkan, risiko jangkitan dan keterukan kes yang disebabkan subvarian XBB1.16 adalah lebih rendah daripada subvarian XBB.1.5 atau varian dan subvarian lain yang pernah dilaporkan.
“Walaupun Malaysia sudah mengenal pasti varian XBB.1.16 sejak Mac lalu, jangkitan COVID-19 masih terkawal dan tidak membebankan kapasiti perkhidmatan kesihatan di klinik dan hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, memaklumkan enam kes pertama membabitkan varian berkenaan dikesan di negeri itu.
Dr Zaliha berkata, pada Minggu Epidemiologi (ME) 16/2023, kes COVID-19 menunjukkan penurunan 6.4 peratus, iaitu daripada 5,149 kes kepada 4,817 kes.
“Shingga kini, sebanyak 70.97 peratus atau 8,319 kes daripada jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus COVID-19 dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI) iaitu jenis varian Omicron dan subvariannya.
“Varian Omicron kekal sebagai satu-satunya varian yang menular pada masa ini, justeru Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai terus mengamalkan TRIIS (lakukan uji, lapor, asingkan, maklumkan dan apatkan rawatan segera) bagi yang bergejala,” katanya, lapor BH Online.