Nation
159

Covid-19: 68 daerah zon merah direkodkan

Kuala Lumpur – Peningkatan kes COVID-19 ketika ini menyaksikan sebanyak 68 daerah zon merah direkodkan di seluruh negara setakat semalam, dengan 46 daerah adalah di Semenanjung.

Ia berdasarkan data pergerakan 14 hari taburan kes COVID-19 mengikut daerah antara 4 April hingga semalam, yang dikongsi Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Facebook, hari ini.

Berdasarkan data itu, hanya 17 daerah zon hijau yang bebas kes COVID-19 dicatatkan semalam dan tujuh daripadanya di Semenanjung, selain 50 daerah zon kuning dan 24, zon jingga.

Beberapa negeri menunjukkan situasi pandemik COVID-19 yang semakin memburuk dalam tempoh 14 hari berkenaan, antaranya Terengganu, Kelantan, Perak, Johor, Pahang, Kedah dan Sarawak.

Terengganu antara yang mencatat kemorosotan kawalan wabak yang ketara apabila merekodkan dua daerah zon merah dan dua zon jingga semalam, berbanding bebas zon merah dan jingga pada 4 April lalu.

Selain itu, daerah zon merah di Kelantan turut bertambah daripada empat kepada tujuh zon merah dalam tempoh berkenaan.

Perak turut merekodkan pertambahan daripada hanya satu daerah zon merah dan dua zon hijau pada 4 April, kepada tiga zon merah dan tiada lagi zon hijau semalam.

Situasi turut memburuk di Sarawak apabila daerah zon merah meningkat daripada 11 kepada 16 daerah dalam tempoh 14 hari lalu, selain jumlah daerah zon hijau menurun daripada tujuh kepada hanya empat dalam tempoh sama.

Kes harian COVID-19 ketika ini kembali melonjak dan mencatatkan melebihi 2,000 kes tiga hari berturut-turut sejak Khamis lalu, manakala kadar kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) melonjak kepada 1.19 semalam, iaitu yang tertinggi tahun ini. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu