Nation
187
0

Covid-19: Bekalan vaksin akan dihantar ke 16 lokasi pusat simpanan

Kuala Lumpur – Sejumlah 312,390 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang tiba di Malaysia pagi tadi akan di hantar ke 16 pusat simpanan vaksin di seluruh negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata sejumlah vaksin juga dijangka tiba di Johor dari Singapura pada jam 2 petang ini menggunakan jalan darat.

“Sementara di Pulau Pinang dihantar melalui pesawat dan tiba pada jam 6 petang. Bagi Sabah dan Sarawak kita akan tentukan tarikh penghantarannya dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata, sehingga kini, sebanyak 54 lokasi dijadikan pusat simpanan vaksin Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk empat di Johor, Selangor (enam), masing-masing dua di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur serta satu di Putrajaya.

“Jumlah keseluruhan 54 lokasi itu termasuk juga di Sabah dan Sarawak. Pusat simpanan ini akan mengagihkan (vaksin) ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya.

Terdahulu pagi tadi, Malaysia menerima secara rasmi bekalan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech selepas pesawat Airbus 330-300 Malaysia Airlines MH604 yang membawanya mendarat di KLIA, kira-kira jam 10 pagi.

Majlis simbolik penyerahan dan penerimaan bekalan vaksin itu disempurnakan Dr Adham dan Dr Noor Hisham, yang membuka kotak penyimpanan vaksin Pfizer-BioNTech sebaik ditempatkan di pusat simpanan sementara di KLIA.

Sebelum itu, vaksin Pfizer-BioNTech diturunkan dari pesawat, kemudian dibawa ke pusat penyimpanan sementara bagi tujuan diedar ke fasiliti kesihatan milik KKM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Perjalanan vaksin bermula dari kilang Pfizer di Belgium semalam, diuruskan sendiri oleh Pfizer dan DHL Express melalui perjanjian di peringkat global.

Vaksin itu kemudian berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu