Nation
142

Covid-19 : Berkumpul ketika majlis pengebumian cetus kluster 32 kes di Sabah

Kota Kinabalu – Aktiviti berkumpul beramai-ramai dalam majlis pengebumian di Kampung Nasakot, Ranau, telah mencetuskan kluster melibatkan 32 kes jangkitan COVID-19 setakat semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata kes indeks bagi kluster jenis komuniti itu merupakan seorang wanita berusia 40 tahun yang dikesan positif semasa saringan prakemasukan wad di Hospital Ranau pada 20 Ogos lepas.

“Pada 12 Ogos kes indeks mula menunjukkan gejala demam, selesema, hilang deria rasa dan bau, bagaimanapun tanpa mengendahkan simptom itu, pada 14 Ogos kes indeks telah menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga.

“Majlis itu berlanjutan selama tujuh hari bersama hampir keseluruhan penduduk Kampung Nasakot. Perkumpulan beramai-ramai semasa majlis pengebumian ini mencetus penularan wabak dalam komuniti Kampung Nasakot dan Kampung Tanid di Mukim Malinsau,” kata jurucakap COVID-19 Sabah itu menerusi kenyataan semalam.

Masidi berkata satu lagi kluster direkodkan hari ini, iaitu Kluster Sawit Jeroco di Lahad Datu, yang merupakan kluster tempat kerja membabitkan 58 kes positif sehingga semalam.

“Kes indeks adalah pekerja kilang lelaki berusia 27 tahun yang disahkan positif COVID-19 di klinik swasta pada 26 Ogos selepas bergejala. Kebanyakan kes adalah dalam kalangan bukan warganegara yang masih belum menerima vaksin dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Masidi berkata 2,594 kes baharu positif COVID-19 direkodkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 147,843 kes, manakala 2,551 orang sembuh menjadikan jumlah kumulatif pulih 114,929 orang dan seramai 4,896 pesakit sedang menerima rawatan, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu