Nation
140

Covid-19 : Gardenia keluar garis panduan tambahan

Shah Alam – Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, pengeluar roti Gardenia di Malaysia mengeluarkan garis panduan tambahan sebagai langkah tambahan dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerjanya.

Pengurus Kanan Sistem Pengurusan dan Jawatankuasa Institusi Hubungan Halal Gardenia Azmy Roslin berkata usaha itu adalah bagi memastikan rantaian bekalan produk makanannya berjalan lancar dan dapat memenuhi permintaan rakyat.

“Antara langkah tambahan yang dibuat adalah dengan mengeluarkan garis panduan tambahan iaitu Garis Panduan Menyeluruh Untuk COVID-19 dan Pelan Tindak Balas Kecemasan Pasukan Tindak Balas Kesediaan Krisis COVID-19 serta melakukan audit pematuhan SOP di setiap jabatan setiap hari.

“Kita juga mengambil langkah tambahan dengan mengasingkan para pekerja di bahagian pengeluaran yang mana mereka keseluruhannya adalah pekerja asing dan tinggal di asrama,” katanya kepada media selepas lawatan di kilang tersebut, di sini, hari ini.

Lawatan di kilang Gardenia itu dikelolakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai salah satu kilang contoh yang mematuhi SOP sepanjang pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

Azmy dalam pada itu berkata para pekerja akan diasingkan sewaktu makan di kantin dan tempat tinggal mereka mengikut barisan pengeluaran masing-masing, bagi mengawal penularan sekiranya terjadi sebarang jangkitan.

Menurutnya, pihaknya juga membuat pengumuman dan hebahan menggunakan poster dalam empat bahasa (Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Urdu dan Nepali) untuk menasihati kesemua pekerja agar patuh pada arahan dan SOP setiap masa.

Ia dilakukan kerana Gardenia memainkan peranan penting dalam memastikan produk rotinya dapat memenuhi permintaan tempatan terutamanya ketika waktu pandemik ini yang juga merupakan makanan asasi rakyat Malaysia.

“Gardenia menguasai lebih 65 peratus pasaran roti di Malaysia dan sekiranya ada kilang kami yang terjejas akibat COVID-19 sudah pastinya akan mengganggu rantaian operasi perniagaan kami dan memberi impak kepada pasaran dan pengguna,” katanya sambil menambah Gardenia mengeluarkan 25 juta unit item pelbagai jenis produk makanan dalam tempoh seminggu.

Beliau berkata syarikat itu juga terlibat dengan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang mana hampir kesemua pekerjanya telah menerima vaksin bagi dos pertama dan dijangka menerima dos kedua kurang sebulan daripada sekarang, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu