Nation
69

Covid-19 : Jalani pemeriksaan segera jika bergejala, kontak rapat

Kuala Lumpur – Orang ramai digesa menjalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes positif COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen, individu perlu memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui notifikasi kendiri di aplikasi MySejahtera atau Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

“Bawa keputusan ujian dan hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC)) yang berdekatan di negeri anda untuk penilaian lanjut,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau semalam.

Beliau berkata CAC akan mengklasifikasi tahap pesakit COVID-19 bagi menentukan pengurusan pesakit yang seterusnya, termasuk kelulusan rawatan di rumah.

CAC berperanan mengenal pasti pesakit yang sesuai dipantau di rumah dengan penilaian menggunakan Home Assessment Tool (HAT) serta mengenal pasti dan menilai pesakit yang berkemungkinan menjadi lebih teruk.

Dr Noor Hisham berkata KKM menerusi pelbagai peringkat dan saluran akan memaklumkan langkah yang mesti dipatuhi dan diamalkan pesakit sepanjang tempoh rawatan di rumah.

“CAC juga akan mengenal pasti pesakit yang memerlukan rujukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau hospital iaitu pesakit Kategori 1 dan 2 yang tidak sesuai untuk ditempatkan dan tidak sesuai dipantau dari rumah.

“CAC juga berfungsi untuk menyelaras rujukan dari klinik kesihatan ke PKRC atau ke hospital,” katanya dengan menambah orang ramai boleh menghubungi CAC melalui nombor telefon yang dinyatakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.

Beliau memaklumkan secara am, setiap daerah mempunyai satu atau beberapa CAC yang diketuai koordinator, bergantung kepada bilangan pesakit yang diuruskan.

Senarai terkini CAC (sehingga 1 Jun 2021) boleh diakses melalui pautan http://covid-19.moh.gov.my/hotline. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu