Nation
215

Covid-19 : Jenazah semakin meningkat, tunggu giliran untuk diuruskan

Kuala Lumpur – Kadar kematian akibat COVID-19 yang tinggi di Malaysia akhir-akhir ini bukan hanya meruntun jiwa banyak pihak, tetapi turut menyebabkan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) berdepan situasi getir apabila mengalami masalah tunggakan dalam pengurusan mayat akibat wabak itu dan kes kematian bukan COVID-19.

Berbeza dengan pengurusan jenazah bukan COVID-19, pengurusan kes kematian COVID-19 perlu dilaksanakan dengan teliti oleh pasukan petugas barisan hadapan dan disegerakan untuk dikebumikan bagi yang beragama Islam atau dibakar bagi bukan Islam.

Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Salmah Arshad berkata peti simpanan mayat sedia ada di IPFN kini tidak mencukupi dan mangsa kematian kini diletakkan di dalam kontena yang boleh memuatkan antara 12 hingga 20 mayat bagi kontena bersaiz enam meter (20 kaki) sementara menunggu giliran untuk diuruskan.

“IPFN ada 36 peti simpanan mayat, tapi kami memantau atau mempunyai tempat simpanan lain contohnya 10 peti di Hospital Tunku Azizah, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan ada empat, dua di Insitut Kanser Negara. Jumlahnya 52 peti simpanan mayat dan kita ada back-up kontena untuk menyimpan mayat.

“Bagi mayat yang dibakar, ia bergantung kepada krematorium. Untuk di Lembah Klang ada satu sahaja lokasi iaitu yang diuruskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Satu oven hanya untuk satu mayat. DBKL juga memberi khidmat pembakaran mayat bukan COVID-19 jadi terpaksa menunggu giliran,” katanya kepada Bernama.

Menurut Dr Salmah bagi mayat bukan Islam, waris boleh memilih sama ada mahu dikebumi atau dibakar dan proses pembakaran setiap mayat memakan masa dua hingga tiga jam berbanding kes bukan COVID-19 iaitu 45 minit hingga sejam.

Doktor pakar berusia 41 tahun yang sudah 13 tahun berkhidmat dalam bidang forensik itu berkata peningkatan jumlah kematian di rumah atau brought-in-dead (BID) melibatkan wabak itu semakin merunsingkan.

Beliau berkata ketika gelombang pertama pandemik itu, kematian COVID-19 di luar wad hanya satu atau dua kes sahaja sebulan berbanding kini yang mencecah tiga atau empat kes seumpamanya dalam sehari.

“Berbanding tahun lepas, kita jarang menerima kes (mati) di rumah, (sebaliknya) kita dapat kes di hospital. Maksudnya pesakit dimasukkan di wad, dirawat dan mati di hospital. Yang merunsingkan sekarang ialah kematian di luar hospital, yang tak sempat dirawat. Simptomnya terlalu cepat dan ini menyedihkan.

“Sememangnya terdapat perubahan… dulu memang kita jangka kematian melibatkan pesakit yang berusia dan ada penyakit seperti jantung, buah pinggang dan obesiti. Itu faktor-faktor yang menyumbang kepada risiko kematian pada tahun lepas, iaitu pada gelombang pertama.

“Gelombang ketiga kita tak dapat jangka sebab tak mengira usia, ada yang muda dan berusia. Paling muda yang kita terima meninggal di rumah adalah umur 20-an dan tiada penyakit. Kini semua kena berhati-hati dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana semua boleh terdedah dan mati kerana COVID-19,” katanya dan menasihati rakyat agar berjaga-jaga meskipun dengan jiran sebelah.

Beliau tidak menolak kemungkinan mutasi pada varian virus itu menyumbang kepada perubahan kategori mangsa yang diserang, termasuk golongan muda yang tiada sejarah masalah kesihatan.

Mengenai proses bedah siasat membabitkan kes BID COVID-19 atau disyaki COVID-19, Dr Salmah yang mula berkhidmat di HKL sejak awal tahun lepas berkata kaedah ‘CT (computed tomography) scanning’ digunakan bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas.

Kaedah itu bagi mengesan keadaan paru-paru dan organ lain si mati seperti jangkitan kuman paru-paru atau pneumonia tanpa perlu membedah mayat seperti prosedur biasa.

“Kita buat external sahaja. Post-mortem CT scan untuk kita tengok keadaan paru-paru atau organ lain. Adakah paru-paru ini menunjukkan jangkitan kuman teruk atau pneumonia disebabkan COVID-19? Jadi kita boleh letakkan sebab kematian sebagai ‘COVID pneumonia’ atau ‘pneumonia due to Covid’,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Perubatan IPFN HKL Hisham Mohd Nordin menjelaskan proses pembakaran mayat COVID-19 bertambah sekali ganda daripada kebiasaan kerana ia dibakar bersama dua lapisan beg mayat yang diperbuat daripada plastik tebal yang berketumpatan tinggi.

Hampir empat tahun berkhidmat di Jabatan Forensik, beliau bertanggungjawab menguruskan mayat di situ dan berkongsi antara situasi tragis akibat COVID-19, ialah seandainya seseorang itu meninggal akibat wabak itu tiada keluarga terdekat untuk memberi penghormatan terakhir buat si mati kerana dalam kebanyakan kes kesemuanya sedang menjalani kuarantin susulan menjadi kontak rapat mangsa.

“Kebanyakan keluarga (tinggal bersama) semua kuarantin. Sangat sedih bila waris tak dapat menatap si mati buat kali terakhir. Pihak kami guna budi bicara bersama inspektor kesihatan untuk pujuk waris hantar wakil terdekat (yang bukan kontak rapat) untuk uruskan jenazah.

“Keadaan petugas di sini kami semua amat letih. Ada ketikanya satu malam 15 kes. Nasihat saya, ikutlah langkah-langkah pencegahan dan patuhi SOP. Bila kerajaan saran ambil vaksin, ambil lah… Kita nak capai imuniti berkelompok,” katanya.

Beliau berkata orang ramai hendaklah bersama-sama membantu semua petugas barisan hadapan bukan sahaja daripada Jabatan Forensik tetapi juga di wad hospital terutamanya di Unit Rawatan Rapi dengan mematuhi SOP dan melakukan kawalan kendiri.

Bagi mengikuti temu bual bersama Dr Salmah dan mengetahui pengurusan jenazah COVID-19, saksikan dokumentari siri kedua ‘Gelombang Kembali: Bilakan Berakhir?’ terbitan Bernama TV yang akan bersiaran pada Jumaat pukul 8.30 malam. — Bernama

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu